TERENGGANU FC II 2 KELANTAN 2

Hasrat Kelantan untuk meraih kemenangan di Kuala Terengganu tidak kesampaian selepas terikat 2-2 dengan Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi Liga Perdana, sebentar tadi.


Turun selaku pelawat, Kelantan hanya memerlukan tiga minit untuk mengejutkan TFC II menerusi jaringan Nik Azli Nik Alias, yang menyudahkan gerakan satu dua dari luar kotak penalti.

Tuan rumah, bagaimanapun, bangkit untuk mengikat kedudukan hasil sepakan percuma Ahmad Takhiyuddin Roslan yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Abdul Arif Abdullah, pada minit kesembilan.

TFC II hampir mendahului selepas percubaan Bruno Suzuki pada minit ke-18 mengenai kaki pemain Kelantan, Cassio Jesus, namun bola sekadar menggegar tiang gol lawan.

Kesempatan itu diambil Kelantan untuk kembali di depan melalui Nik Akif Syahiran Nik Mat (m-22) yang melencongkan sepakan percuma ke sebelah kanan penjaga gol lawan, Amierul Hakimi Awang.

Kedudukan berubah lagi pada minit ke-68 apabila Takhiyuddin menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-68 menerusi satu lagi sepakan percuma.

Pintu gol Kelantan nyaris bocor pada minit ke-90, mujur tandukan Akanni Sunday Wasiu mudah dibaca Abdul Arif untuk kedua-dua pasukan akur dengan keputusan seri.

KEPUTUSAN LAIN:

PULAU PINANG 0 SABAH 0
SARAWAK 1 JOHOR DARUL TA'ZIM II 1