TERENGGANU FC II 1 PDRM 0

Jaringan tunggal pertahanan import, Serhii Andrieiev, mememastikan tiga mata penuh menjadi milik Terengganu FC II (TFC II) selepas menewaskan PDRM dalam saingan Liga Perdana di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Awal permainan dikuasai pelawat selepas percubaan Patrick Ronaldinho pada minit kelima menggegar tiang gol sebelum tindakan susulan Shahurain Abu Samah sedikit tinggi.

Pintu gol TFC II diuji lagi menerusi sepakan leret Andrezinho yang tersasar ke sebelah kanan gawang Mohd Sharmiza Yusoff pada minit ke-10.

Kem pelawat kemudian hampir diceriakan Ronaldinho (m-27), malangnya voli penyerang dari Liberia itu sekadar melencong ke sebelah tepi.

Keghairahan PDRM dihukum tuan rumah yang memecahkan kebuntuan pada minit ke-43 melalui tandukan kemas Andrieiev selepas menerima umpanan Mohd Hassan Basri.

TFC II berpeluang melebarkan jurang gol hasil serangan balas, namun ia disia-siakan Ahmad Takhiyuddin Roslan, yang hanya berdepan Mohd Shahril Sa'ari, pada minit ke-67.

Hasrat pelawat untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan seri tidak kesampaian selepas tandukan Stuart James Wilson (m-83) diselamatkan penjaga gol gantian TFC II, Amierul Hakimi Awang.

Kemenangan 1-0 itu membolehkan juara Piala Cabaran 2018 berkenaan mengumpulkan 22 mata, tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)