Walaupun sudah sah layak ke Liga Perdana 2019, jurulatih Terengganu City (TCFC), Mohd Noor Derus, menyifatkan masih terlalu awal meraikan pencapaian tersebut.

Sebaliknya bekas pemain kebangsaan itu mahu TCFC memberi perhatian terlebih dahulu pada aksi final Piala FAM berdepan Selangor United, Khamis ini.

Sekalipun berbangga dengan pencapai bersejarah sejak penubuhan kelab terbabit, Mohd Noor mencabar skuad bimbingannya menjulang trofi itu di Cheras nanti.

"Memang sasaran kami adalah ke Liga Perdana namun masih terlalu awal untuk berfikir tentang musim depan.

"TCFC masih ada satu lagi perlawanan penting dan alang-alang genggam bara api, biar sampai jadi arang," ujarnya.

Kelmarin, TCFC serta Selangor United mara ke final Piala FAM selepas masing-masing mengatasi MOF FC dan PJ Rangers untuk muncul dua pasukan dinaikkan pangkat ke Liga Perdana.

Menjelang aksi final itu, Mohd Noor berkata TCFC akan memberikan persembahan terbaik berbekalkan semangat juang seperti ditunjukkan pada peringkat kumpulan dan separuh akhir.

Pengalaman beberapa pemain seperti bekas penyerang negara, Izzaq Faris Ramlan, serta bekas pemain Terengganu, Reeshafiq Alwi dan Khairul Ramadhan, diharap dapat menyuntik semangat pasukannya.

"Semua pemain bersedia untuk beraksi dan tahu apa yang diperlukan. Mereka hanya peru beraksi seperti biasa dengan tambahan 200 peratus komitmen," tambah Mohd Noor.

Kredit foto: Terengganu City (TCFC)