Walaupun sudah bergelar juara Piala FAM, Terengganu City FC masih belum pasti mengenai penyertaan mereka dalam Liga Perdana musim depan kerana masih menunggu kata putus pihak pengurusan.

Kejayaan menewaskan Selangor united 2-0 di pentas akhir tidak mampu meredakan keresahan pengendalinya, Mohd. Noor Derus, terhadap masa depan kelab Terengganu City FC.

Berdepan masalah kewangan yang kritikal dengan difahamkan pemain serta pegawai belum menerima tunggakan gaji sejak dua bulan lalu, persoalan timbul adakah kelab ini akan mengikut jejak langkah seperti juara musim lalu, Sime Darby.

Noor Derus ketika ditanya persiapan mereka musim depan bagaimanapun tidak boleh mengulas lanjut.

"Itu akan diberitahu oleh pihak pengurusan kelak, kami akan tengok macam mana perancangan mereka selepas ini.

"Insya-Allah dengan kejayaan ini dan kesabaran selama ini, pihak pengurusan akan memberikan sesuatu," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Namun, situasi berbeza buat rakan sejawatnya di Selangor United, Abdul Talib Sulaiman, yang sudah mula berkira-kira melakukan pencarian import di Mesir serta pemain tempatan berkaliber.

"Tidak semua pemain akan dikekalkan kerana ia akan melibatkan saingan di tahap yang lebih tinggi.

"Mana-mana pemain yang telah memberikan yang terbaik akan kekal dan sudah pasti kami akan mengambil pemain yang lebih pengalaman.

"Pihak pengurusan dijangka akan ke Mesir untuk memantau pemain import," kata Abdul Talib.

Dalam aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam tadi, dua gol kemenangan Terengganu City FC disumbangkan Rahizi Mohd. Rasib dan Khairul Ramadan Mohd. Zauwawi pada separuh masa kedua.