Skuad Terengganu FC (TFC) II tidak akan turun dengan permainan bertahan dalam aksi berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Pasir Gudang, malam esok.

Menurut pengendalinya, Tengku Hazman Raja Hassan, kelebihan JDT II selaku tuan rumah tidak akan mengubah corak permainan skuad bimbingannya yang turut mengidamkan tiga mata.

Namun, sedikit merisaukan Tengku Hazman adalah ketumpulan jentera serangan TFC II yang sekadar merekodkan purata satu gol dalam setiap perlawanan.

"Agak keterlaluan untuk bertandang ke tempat lawan dan bermain secara bertahan ketika kami juga memerlukan mata.

"Saya yakin kami akan mencipta peluang tapi masalah besar TFC II adalah keupayaan menjaringkan gol," kata bekas kapten pasukan negara itu.

Juara Piala Cabaran 2018 itu akan beraksi tanpa pemain tengah, Abdul Shukor Jusoh, dan pertahanan kanan, Mohd Hafizal Alias, yang diserap dalam skuad Liga Super, TFC.

Lantas, pemain muda, Zueasyraf Zulkiflie, akan dipertaruhkan di samping Marcel N'Guessan walaupun aksinya disifatkan sebagai tidak memenuhi seleranya.

"Kembalinya Marcel akan menghidupkan posisi tengah manakala Zueasyaf dituntut segera meningkatkan prestasi.

"Gandingan penyerang, Bruno (Suzuki) dan Akanni (Sunday Wasiu), pula diharap berfungsi dengan baik untuk merobek kubu lawan," tambah Tengku Hazman.

Sekiranya menang, TFC II yang menghuni tangga keempat dengan 23 mata, berpeluang menghambat JDT II dan pendahulu liga, UiTM FC, yang masing-masing berkongsi 26 mata.