Pengendali Sabah, Jelius Ating, berharap bahagian penyudah pasukannya akan lebih berkesan dengan kehadiran dua pemain import baru yang akan membuat penampilan pertama dalam aksi bertemu UKM FC di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur, malam esok.

Dua pemain itu ialah bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga, dan pemain tengah dari Turkmenistan, Ahmet Atayev, yang mengikat kontrak bersama skuad Tambadau itu, baru-baru ini.

"Saya gembira kerana proses bagi membolehkan mereka bermain esok berjalan lancar dan saya berharap penampilan pertama dua pemain itu akan menampakkan hasil.

"Mereka mungkin belum cergas sepenuhnya kerana baru sahaja menyertai pasukan, namun apa yang saya lihat dalam sesi latihan, persembahan mereka agak baik.

"Saya harap ia akan diterjemahkan dalam aksi pertama mereka," katanya.

Sementara itu, Jelius berkata dua aksi berturut-turut di gelanggang lawan, termasuk perlawanan bertemu UKM FC esok, merupakan ujian yang sukar.

Sasarannya adalah untuk tidak pulang dengan tangan kosong dengan mengelakkan kekalahan bagi memastikan kedudukan di kelompok atasan liga tidak terjejas.

"Tidak kisahlah sama ada kami mencatat kemenangan atau seri kerana apa yang penting adalah kami mengutip mata kerana kita tahu aksi di tempat lawan bukanlah mudah.

"Bagaimanapun, saya berharap agar pemain akan memberikan aksi terbaik dan memenangi perlawanan bagi mengukuhkan lagi kedudukan dalam liga," katanya.

Dalam pada itu, bekas pemain berusia 48 tahun itu akan membuat sedikit perubahan terhadap kesebelasan utamanya bagi aksi malam esok berikutan kehadiran Mendes dan Atayev serta ketiadaan Randy Baruh yang menjalani penggantungan perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

"Kami akan mengekalkan Rozaimie (Rohim) sebagai penjaga gol dengan dibantu empat pertahanan iaitu Rawilson (Batuil), Park (Taesu), Evan Wensley Wenceslaus serta Dendy Lowa, yang menggantikan tempat Randy.

"Azzizan (Nordin) pula akan bergandingan dengan Atayev di bahagian tengah dengan dibantu pemain sayap, Alto (Linus) dan Jenius (Karib), manakala (Rodoljub) Paunovic dan Mendes bertindak sebagai penyerang," katanya.

Selepas aksi dengan UKM FC, Sabah akan sekali lagi beraksi di gelanggang lawan dengan bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, 25 Mei ini.