Pencapaian pasukan Sabah dalam pusingan pertama saingan Liga Perdana musim ini boleh dikatakan satu perkembangan yang baik buat skuad yang kini popular dengan panggilan Tambadau itu.

Bagi pengendali pasukan itu, Jelius Ating, kejayaan mengumpul 18 mata daripada 10 perlawanan adalah pencapaian lebih baik berbanding musim lalu.

Bagaimanapun, mereka tidak harus dibuai mimpi selepas mencatat keputusan memberangsangkan dalam 'separuh masa pertama' saingan liga kerana pastinya cabaran lebih besar menanti mereka dalam 'babak kedua' nanti.

Mungkin penyokong pasukan itu masih ingat pada musim 2015 lalu, ketika itu Sabah ditunjangi pemain bertaraf dunia, iaitu El Hadji Diouf ,dan mereka disebut-sebut bakal dinaikkan pangkat ke Liga Super setelah mengungguli carta liga dalam pusingan pertama liga.

Bagaimanapun, semuanya serba tidak menjadi buat Sabah apabila pada akhirnya mereka bukan saja gagal merealisasikan impian ke Liga Super, malah turut kempunan beraksi dalam Piala Malaysia.

Pengalaman itu pastinya menjadi pengajaran buat Sabah, terutama sebahagian besar pemain yang pernah mengharungi musim 2015 itu, termasuk Jelius dan Burhan Ajui yang ketika itu bertindak sebagai pembantu jurulatih.

Apa yang diperlukan Sabah jika tidak mahu sejarah 2015 itu berulang ialah terus konsisten selain mengelak segala masalah dalaman yang mampu mengganggu-gugat prestasi pasukan.

Sekiranya semua itu dapat diatasi, tidak mustahil Sabah kembali mewarnai saingan Liga Super selepas kali terakhir beraksi di pentas bola sepak nombor satu negara itu pada 2012.

Selepas menutup tirai pusingan pertama liga dengan kemenangan 3-1 ke atas UKM FC, malam tadi, Sabah kini menghuni tangga kedua di belakang Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang mengumpul 21 mata serta masih memiliki baki satu perlawanan sebelum menghabiskan saingan pusingan pertama.

Satu-satunya pasukan yang boleh mencabar kedudukan Sabah ketika ini adalah UiTM FC yang kini berada di tangga ketiga dengan 14 mata, namun kurang dua perlawanan berbanding Sabah.

Apa yang pasti, Sabah akan tetap berada di kedudukan tiga teratas selepas kesemua pasukan menghabiskan pusingan pertama liga, minggu depan.

Jelius ketika diminta mengulas mengenai prestasi mereka selepas tamat pusingan pertama liga berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi anak didiknya.

"Dalam pusingan pertama, kami berjaya mengumpul 18 mata dan ia satu pencapaian yang baik berbanding musim lalu dan apa yang kami perlu lakukan sekarang ialah terus berusaha untuk mengumpul seberapa banyak mata yang boleh.

"Bagi saya, pasukan ini mampu pergi lebih jauh lagi dan pengendali pasukan, sudah pasti saya mahu mencapai sasaran seperti yang diharapkan pemangku presiden SAFA (Persatuan Bolasepak Sabah), Datuk Peter Anthony," katanya.