Sabah perlu memperbaiki mutu permainan mereka berbanding aksi sebelum ini sekiranya mahu meneruskan rentak kemenangan apabila berdepan PDRM dalam saingan Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Melaka, Rabu ini.

Skuad kendalian Jelius Ating itu tampak gah sebaik memasuki pusingan kedua apabila mencatat tiga kemenangan dan seri sekali, malah mereka masih belum dibolosi dalam empat aksi berkenaan.

Bagaimanapun, persembahan mereka ketika membenam Negeri Sembilan 1-0 di gelanggang sendiri, Sabtu lalu, menghadirkan sedikit kebimbangan kerana walaupun memenanginya, jelas aksi yang dipamerkan adalah di bawah tahap sebenar.

Ketika ditemui baru-baru ini, Jelius mengakui tempoh rehat saingan yang agak lama selain kurangnya aksi persahabatan kompetitif antara faktor kemerosotan itu dan ia perlu diperbaiki segera.

Pengurus Sabah, Henry Soimpon, berkata pasukan itu perlu mengelak daripada keciciran mata, termasuk aksi bertemu PDRM, bagi memastikan mereka terus berada di landasan betul dalam merealisasikan sasaran layak ke Liga Super musim depan.

"Ia adalah pesembahan di bawah tahap sebenar walaupun menang (1-0) ke atas Negeri Sembilan di Stadium Likas, Sabtu lalu.

"Saya yakin kami boleh bermain lebih baik daripada itu dan ini perlu apabila berdepan PDRM di tempat lawan Rabu ini," katanya.

Henry berkata kemenangan 3-1 ke atas PDRM dalam pusingan pertama di Stadium Likas bukan jaminan untuk mereka mendapat laluan mudah.

Ini kerana PDRM juga telah mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan sebelum ini dan ia membuktikan mereka mampu mencipta kejutan.

Selain itu, PDRM juga telah menjaringkan 10 gol dalam empat perlawanan itu, termasuk membelasah Sarawak 6-2, membuat kejutan mengalahkan pendahulu liga, JDT II 1-0, mengatasi UKM FC 3-2 dan hanya tewas tipis 0-1 kepada Terengganu FC II.

Skuad Tambadau pula hanya menjaringkan tiga gol tetapi gawangnya juga belum dibolosi dalam empat perlawanan dalam pusingan kedua.

Sabah menang 1-0 ke atas Selangor United, UKM FC dan Negeri Sembilan dan seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang.

"Belum dibolosi dalam pusingan kedua adalah perkara positif. Kalau dapat pertahankan gawang daripada dibolosi, dapat satu gol pun memadai kerana yang penting adalah tiga mata," katanya.