Kehadiran semula beberapa tonggak utama memberi keyakinan kepada Sabah untik mengembalikan rentak kemenangan mereka apabila melayan kunjungan UKM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Aksi terakhir dalam pusingan pertama itu bakal menyaksikan kehadiran semula ketua pasukan, Rawilson Batuil, serta Mohd Azzizan Nordin yang telah selesai menjalani penggantungan perlawanan.

Selain itu, Maxsius Musa dan Ricco Nigel Milus yang sebelum ini diketepikan akibat kecederaan, turut dijangka membarisi semula kesebelasan utama malam esok.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon, berkata kehadiran semula empat pemain itu satu perkembangan baik bagi Sabah yamg masih gagal mencatat kemenangan selepas tiga perlawanan

"Kami sudah kehilangan Sabri (Sahar) sepanjang musim ini kerana kecederaan lutut manakala Maxsius mungkin memerlukan empat minggu untuk pulih daripada kecederaan hamstring.

"Apapun, kehadiran semula Rawilson, Azizan dan mungkin Ricco adalah perkembangan baik dalam usaha pasukan mengembalikan rentak kemenangan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Henry berkata kesemua pemain lain, termasuk empat import, kini berada di tahap terbaik untuk memulakan perlawanan esok.

Terdahulu, ketika diminta mengulas mengenai amaran Pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, yang mahu pasukan itu mencatat kemenangan atau berdepan perubahan drastik, Henry berkata ia menjadi suntikan semangat kepada mereka.

"Kami terima amaran pemangku presiden itu sebagai satu suntikan semangat memburu kemenangan Sabtu ini.

"Ia adalah amaran yang wajar, terutama ketika kami bersaing sengit dengan beberapa pasukan dalam kelompok teratas.

"Hanya kemenangan pada Sabtu ini akan membolehkan kami menamatkan pusingan pertama dalam kelompok tiga pasukan teratas dan inilah yang kami akan fokus untuk terus berada di landasan betul bagi mengotakan sasaran naik ke Liga Super musim depan," katanya.