UiTM 1 SABAH 2

Sabah akhirnya menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi selepas menewaskan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi, sekali gus mengesahkan kejuaraan Liga Perdana menjadi milik mereka musim ini.

Bagaimanapun, skuad kendalian Jelius Ating itu terpaksa bermandi peluh apabila terlebih dulu ketinggalan satu gol sebelum bangkit mencetak dua gol lagi bagi memastikan kemenangan bergaya mereka itu.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan skuad Tambadau menguasai permainan dan memiliki beberapa peluang baik untuk memperoleh gol pertama.

Dua peluang awal Sabah hadir menerusi sepakan percuma Alto Linus pada minit ketiga dan rembatan jauh Ricco Nigel Milus, namun ia diselamatkan penjaga gol dan tinggi melepasi peluang.

Penyerang import Sabah, Aguinaldo Mendes Veiga, berjaya melepasi pertahanan UiTM FC pada minit ke-12, namun percubaan selepas itu tidak menepati sasaran.

Rodoljub Paunovic kemudian hampir menceriakan ribuan penyokong pelawat yang hadir tetapi sepakan percumanya pada minit ke-21 sekadar singgah di palang gol walaupun penjaga gol sudah pun tertewas.

Walaupun jarang melakukan serangan, UiTM FC tidak mensia-siakan satu-satunya peluang yang dimiliki apabila sepakan percuma penyerang berbisa mereka, Zarko Korac, pada minit ke-29 terus menerjah jaring dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

UiTM FC terlebih dulu mencemaskan pintu gol Sabah dalam babak kedua pada minit ke-51, namun, percubaan Park Yongjun yang hanya berdepan penjaga gol, Sabah, Rozaimie Rohim, tersasar jauh.

Gol yang dicari-cari Sabah akhirnya menjelma pada minit ke-57 hasil sepakan penalti Paunovic yang menyempurnakannya dengan tenang bagi menyamakan kedudukan.

Sepakan penalti itu diberikan pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa, selepas bola terkena tangan salah seorang pertahanan UiTM FC.

Korac sekali lagi mencemaskan pintu gol Sabah menerusi sepakan percumanya pada minit ke-63 tetapi kali ini Rozaimie lebih cemerlang menepis bola keluar.

Penyokong Sabah kemudian sekali lagi melompat gembira apabila Aguinaldo menanduk masuk bola sepakan penjuru Ricco pada minit ke-66 untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Kedudukan itu kemudian kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat, seterusnya mengesahkan kejuaraan Sabah yang kini mengumpul 40 mata, iaitu mata yang tidak mampu dikejar oleh mana-mana pasukan lagi.