Beberapa tonggak utama Sabah akan direhatkan apabila pasukan itu berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk bertemu Terengganu FC II (TFC II), malam esok.

Ketua jurulatihnya, Jelius Ating, berkata dia akan menggunakan pemain yang jarang diturunkan dalam perlawanan itu dan berharap peluang itu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka.

Bagaimanapun, dia menegaskan walaupun menurunkan pemain simpanan, ia bukan bermakna aksi itu hanya menjadi pelengkap jadual Liga Perdana musim ini, sebaliknya lebih kepada strategi bagi menghadapi Piala Malaysia yang akan datang.

"Beberapa pemain utama berisiko digantung jika dilayangkan kad kuning dalam perlawanan itu dan kami tidak mahu mengambil risiko kerana mahu memulakan Piala Malaysia bulan depan dengan skuad terbaik.

"Ada juga pemain utama yang mengalami sedikit kecederaan, jadi sebaik-baiknya mereka direhatkan bagi mengelakkan kecederaan lebih serius," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata tujuannya menurunkan pemain simpanan adalah untuk menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi Piala Malaysia kerana mereka juga akan memainkan peranan tersendiri.

"Kami mahu skuad yang besar dalam Piala Malaysia nanti.

"Oleh itu, kesemua pemain, termasuk pemain simpanan, perlu bersedia sepenuhnya," katanya.

Antara tonggak yang mungkin direhatkan ialah penjaga gol, Rozaimie Rohim, Alto Linus, Mohd Azizan Nordin, Jenius Karib dan penyerang import, Rodoljub Paunovic.

Paunovic, Mafry Balang dan Dendy Lowa antara yang berisiko digantung perlawanan jika dilayangkan kad kuning.

Turut tidak dibawa ke Terengganu ialah Evan Wensley, yang menjalani penggantungan satu perlawanan.

"Saya difahamkan sekiranya ada pemain yang digantung perlawanan selepas aksi esok, ia akan dibawa ke Piala Malaysia tetapi jika belum digantung, semua kad kuning yang terkumpul tidak akan dikira dan faktor inilah yang saya ambil kira sebelum menyenaraikan pemain bagi menghadapi TFC II," katanya.

Sebarang keputusan dalam aksi malam esok tidak akan mengubah kedudukan Sabah yang telah dinobatkan sebagai juara Liga Perdana.