SABAH 3 UKM FC 1

Sabah menemui semula rentak kemenangan selepas tiga perlawanan dengan menewaskan UKM FC 3-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.


Skuad Tambadau itu memperoleh jaringan pertama menerusi Alto Linus pada minit ke-20 selepas menanduk kemas hantaran lintang Rodoljub Paunovic.

Jaringan itu, bagaimanapun, tidak mematahkan semangat pelawat yang beberapa kali mendatangkan percubaan berbahaya sebelum menyamakan kedudukan hasil rembatan kaki kiri Mohd Hafizi Amiruddin pada minit ke-42.

Kesilapan penjaga gol UKM FC, Khatul Anuar Md Jalil, pada minit ke-45 mengakibatkan pintu gol mereka sekali lagi dibolosi apabila tendangan Dendy Lowa dari jarak hampir setengah padang melantun masuk untuk menjadikan kedudukan 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama

Dalam babak kedua, Sabah terus garang untuk menambah gol ketiga hasil jaringan Paunovic pada minit ke-59.

Gol itu berpunca daripada kesilapan pertahanan UKM FC, Mohd Akmal Zahir, yang cuba menanduk bola ke belakang sebelum disambar Paunovic yang melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti.

UKM FC hampir memperoleh gol kedua menerusi percubaan jarak jauh penyerang import, Mateo Roskam, namun ia ditepis keluar penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Sabah hampir menambah jaringan pada minit ke-86 menerusi sepakan percuma Luis Carlos Junior.
Bagaimanapun, percubaan itu ditepis keluar Khatul Anuar untuk kedudukan 3-1 itu kekal sehingga wisel penamat.