Ketua jurulatih Selangor United, Abdul Talib Sulaiman, akur dengan kekalahan 0-2 kepada Kelantan dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Katanya, pemain muda tuan rumah menampilkan aksi terbaik sehingga menyukarkan anak buahnya mencari kemenangan di gelanggang lawan.

"Ini kekalahan keempat (berturut-turut) kami dalam liga. Tahniah kepada pemain muda Kelantan yang bermain cukup cemerlang malam ini," katanya.

Talib mengakui jaringan sepakan penalti yang disempurnakan pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat, menjadi titik tolak kebangkitan skuad tuan rumah.

"Kami bermula baik dan kekal tanpa jaringan dalam babak pertama. Cuma, kesilapan pertahanan kami yang menjatuhkan penyerang tuan rumah menyebabkan kami dihukum dengan sepakan penalti.

"Selepas itu, kami gagal bangkit dan Kelantan terus menghukum kami dengan gol kedua, juga hasil kesilapan barisan pertahanan," katanya.

Talib juga tidak berpuas hati dengan sumbangan penyerang import, Danko Kovacevic, yang gagal menampilkan aksi terbaik.

"Bukan malam ini saja dia (Kovacevic) gagal beraksi baik. Perlawanan terdahulu pun dia gagal menyerlah.

"Saya tidak mahu komen tentang pemilihan pemain ini dan dia dikeluarkan kerana gagal beraksi dengan baik," katanya.

Untuk rekod, kekalahan malam tadi meletakkan Selangor United di tangga kelapan dengan 18 mata hasil lima kemenangan dan tiga seri.