Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, berpuas hati kerana berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Sabah dengan keputusan 3-2 dalam Liga Perdana di Stadium Selayang, hari ini.

UKM, yang hanya memenangi satu perlawanan sebelumnya ketika berdepan Johor Darul Ta'zim II (JDTII), bangkit untuk meraih kemenangan kedua walaupun turun selaku pasukan tercorot liga.

Sulaiman memuji prestasi anak buahnya yang tidak berputus-asa selepas mempamerkan aksi tidak konsisten dalam tujuh perlawanan terdahulu.

Malah, kecekapan pemain import dari Korea Selatan, Nam Se In, benar-benar membantu pasukan untuk konsisten memburu gol sehingga meraih kemenangan 3-2.

"Pemain terima cabaran saya sebelum perlawanan tadi. Kami tidak boleh kalah lagi, kami tidak boleh terus kalah 2-1 untuk lima perlawanan.

"Kalau kami kalah lagi, kami akan terus tertinggal. Saya cabar mereka, kalau kita mahu mengejar kedudukan lebih baik, kita perlu menang," kata Sulaiman

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, tidak menganggap beraksi pada sebelah petang sebagai punca aksi anak buahnya terjejas sehingga rekod tanpa kalah mereka lebur di tangan UKM.

Katanya, hanya nasib tidak menyebelahi tatkala mereka hampir berjaya untuk menyamakan kedudukan pada 10 minit terakhir.

"Kalau betul bermain pada waktu petang menjadi faktor, sebenarnya kami menjalani latihan di waktu petang juga. Bagi saya, ia bukan satu alasan.

"Bagi saya, hari ini kami tidak bermain begitu baik dan aksi kami di bawah kemampuan sebenar," tambahnya.