Perancang tengah Kuala Lumpur, Irfan Zakaria, mengakui kejayaan pasukannya kekal selaku pendahulu Liga Perdana selepas menewaskan PKNP FC 1-0 kini membolehkannya menumpukan tugasan bersama skuad bawah 22 tahun (B-22) negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Irfan juga adalah antara pemain tonggak skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika membantu skuad negara melepasi saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok, baru-baru ini.

"Saya sangat gembira dengan perlawanan pada malam ini (tadi).

"Selepas ini, saya akan mengalihkan tumpuan kepada Sukan SEA untuk berada dalam senarai nama 20 pemain Kim Swee.

"Berdasarkan prestasi dalam Kejohanan AFC B-23 di Bangkok, masih banyak yang perlu saya perbaiki.

"Saya perlu menggandakan usaha untuk menempatkan diri dalam skuad Sukan SEA," ujarnya.