Penyerang muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak, enggan pemergiannya ke Jepun sekadar makan angin selepas mendapat peluang untuk menjalani pemilihan selama enam hari bersama kelab J2, Roassa Kumamoto, bermula Ahad ini.

Sehubungan itu, Hadi Fayyadh tidak akan bersama skuad Sukan Asia Indonesia 2018 yang akan terbang ke Changzhou hari ini untuk bertemu China dalam satu perlawanan persahabatan, juga pada Ahad ini.

Bertekad menggunakan peluang ini sebaik mungkin, dia berharap mampu terpilih mewakili Roassa Kumamoto demi mengutip pengalaman di luar negara sebanyak mungkin.

Sedar ramai pemain sebelum ini pernah tersungkur awal ketika mendapat peluang beraksi di luar negara, Hadi Fayyadh berharap dia mampu menjadi sebaliknya.

"Ini cabaran yang bagus untuk saya memandangkan saya masih muda.

"Saya pun nak belajar benda baru di luar sana, saya mahu buat yang terbaik.

"Saya harap dapat mempelajari banyak perkara baru dan kekal di sana nanti," kata penyerang yang mewakili Johor Darul Ta'zim II itu.

Mengenai kemerosotan prestasi di pentas antarabangsa, dia mengakui ia memberi kesan kepada tahap keyakinannya sebelum terbang ke Jepun.

Dalam Kejohanan AFF B-19 di Surabaya, Indonesia, baru-baru ini, dia gagal menyumbat sebarang gol sungguhpun skuad negara muncul juara.

"Walaupun tidak dapat menjaringkan sebarang gol dalam Kejohanan AFF B-19, saya dapat membantu pasukan untuk muncul juara, itu yang lebih penting.

"Bagaimanapun, sebaik kembali ke tanah air, saya telah menyumbat lima gol dalam tiga perlawanan membabitkan Liga Perdana dan Piala Presiden.

"Kini saya berada di kemuncak prestasi," ujarnya lagi.