Sudah juara bukan bermakna boleh sambil lewa -- Jelius

Oleh Willie Jude 11 Julai 2019 1823
Sudah juara bukan bermakna boleh sambil lewa -- Jelius
Walaupun sudah bergelar juara, Sabah tetap tidak akan memberi muka kepada Kelantan apabila bertemu dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Sabtu ini. 

Skuad The Red Warriors itu pastinya mahu mencatatkan kemenangan untuk terus menghidupkan peluang kekal dalam Liga Perdana musim depan. 

Pengendali Tambadau, Jelius Ating, berkata kemenangan Sabtu ini penting kerana mereka tidak mahu acara menjulang trofi pada hari berkenaan menjadi sedikit 'masam' jika perkara sebaliknya berlaku.

"Adalah lebih baik untuk kami memenangi perlawanan itu kerana saya difahamkan ketua menteri dan TYT (Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sabah) akan hadir menyaksikannya perlawanan serta penyampaian piala pada hari berkenaan. 

"Selain itu, walaupun sudah bergelar juara, ia bukan bermakna kami boleh bersikap sambil lewa kerana kami perlu mengekalkan momentum baik sebagai bekalan menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi," katanya. 

Bagaimanapun, Jelius berkata dia akan mengambil kira beberapa perkara dan risiko untuk dua lagi baki perlawanan liga yang perlu diharungi mereka. 

"Sekiranya ada pemain yang tercedera, kami tidak akan memaksa mereka untuk segera beraksi, begitu juga pemain yang berisiko untuk digantung perlawanan jika mengutip kad kuning, 

"Saya difahamkan, sekiranya ada penggantungan perlawanan, ia akan dibawa ke saingan Piala Malaysia. 

"Seperti kita tahu, saingan Piala Malaysia berbeza dengan saingan liga dan kami perlu menyediakan satu skuad yang baik bagi menghadapinya.

"Baki dua perlawanan ini juga akan menjadi sebahagian daripada persiapan kami untuk menghadapi Piala Malaysia nanti," katanya. 

Tambahnya, kesebelasan utama Tambadau untuk menghadapi Kelantan hanya akan diputuskan selepas sesi latihan esok. 

"Hanya pemain yang benar-benar cergas sahaja akan beraksi dan saya berharap mereka yang diberikan peluang akan bermain bersungguh-sungguh bagi memastikan kami mendapat keputusan baik," katanya. 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen