Pengarah Teknikal The Red Warriors (TRW), Jorg Peter Steinebrunner, menegaskan semua pemain berpeluang membarisi kesebelasan utama Kelantan jika memberikan aksi terbaik sepanjang sesi latihan dan perlawanan persahabatan yang diatur.

Pengendali kelahiran Jerman itu juga menyifatkan status 'bintang' bukan tiket utama seseorang pemain itu disenaraikan, sebaliknya perlu berusaha gigih untuk merebutnya.

"Tentu sekali, tiada istilah 'pemain bintang' dan 'pilih kasih' dalam skuad kendalian saya musim ini. Semua pemain akan menerima layanan sama adil.

"Saya juga tidak mempunyai 'pemain pilihan'. Semua akan mendapat peluang yang sama kerana pada akhirnya, saya yang akan bertanggungjawab kepada pasukan," katanya.

Steinebrunner yang juga bekas pengendali Negeri Sembilan percaya komunikasi dua hala penting supaya pemainnya mampu memahami segala taktikal yang dirancang.

"Saya percaya komunikasi dua hala (jurulatih dan pemain) mampu memberi kestabilan kepada skuad. Amat penting untuk jurulatih mendengar suara pemain dan kami akan saling menghormati satu sama lain.

"Saya mungkin menjadi sedikit emosi (keras) jika pemain melakukan kesilapan mudah. Saya percaya jika permainan tidak mengikut strategi yang dirancang, kami perlu cari penyelesaian segera.

"Setakat ini, kami tidak ada sebarang masalah. Mereka terima segala teguran saya dan pemain akan tahu jika saya tidak gembira dengan prestasi yang ditunjukkan," katanya.

Kelantan dijadualkan menentang kelab dari Thailand, Sungai Padi FC, dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Khamis ini.