Pengarah Teknikal The Red Warriors (TRW), Jorg Peter Steinebrunner, mahukan satu lagi perlawanan persahabatan berkualiti selepas aksi Kelantan menentang Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Muhammad IV ditamatkan lebih awal akibat hujan lebat malam tadi.

Permintaan pengendali kelahiran Jerman itu jelas difahami kerana dia gagal menguji semua calon penyerang untuk melengkapkan kuota import pasukan Kelantan.

"Ya, saya perlukan satu lagi perlawanan persahabatan berkualiti untuk menguji semua calon pemain import yang hadir.

"Kami masih mencari seorang penyerang tulen yang mampu menyudahkan gerakan yang dihasilkan, sekaligus memastikan Kelantan mencapai kemenangan dalam saingan liga nanti," katanya.

Kelantan bermula garang dan Flavio Beck Junior hampir meletakkan TRW di depan, namun sepakan percuma cantiknya dari luar petak penalti sekadar menggegar palang pada minit ke-13.

Skuad kendalian Steinebrunner itu terus menyerang dan penyerang import yang diuji, Mustafa Zazai, hampir menjaringkan gol melalui rembatan padu dari luar kawasan penalti, namun ditepis penjaga gol TFC II, Mohd Suhaimi Husin, pada minit ke-25.

TFC II di bawah kendalian Tengku Hazman Raja Hassan menyerap asakan dan mula melancarkan serangan dan hampir mendahului tuan rumah melalui rembatan kencang penyerang import, Akanni Sunday Wasiu, tetapi tersasar pada minit ke-30.

Usaha TRW mencari gol pendahuluan hampir berhasil melalui sepakan kencang Nedo Turkovic hasil lorongan cantik Junior, namun ditangkap kemas penjaga gol TFC II, Suhaimi, pada minit ke-45.

Dalam babak kedua, Mustafa yang juga pemain kebangsaan Afghanistan melepaskan rembatan kencang yang terus ke dakapan Suhaimi (m-47).

Pengadil perlawanan, Mohd Hadron Mohd Amir, membuat keputusan untuk menamatkan permainan lebih awal akibat hujan yang semakin lebat dan keadaan padang yang teruk pada minit ke-56.

Untuk rekod, TRW berjaya mengikat skuad Liga Super, Terengganu FC, 1-1 sebelum kalah 1-4 kepada Kedah dalam aksi persahabatan kedua.