Skuad Tambadau guna aksi persahabatan uji pemain

Oleh Willie Jude 20 Mac 2019 792
Skuad Tambadau guna aksi persahabatan uji pemain
Skuad Sabah akan memberi peluang kepada kesemua 24 pemain pasukan itu untuk beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan daripada Liga Super, hujung minggu ini.

"Kami akan menentang Melaka malam ini dan esok di Stadium Hang Jebat sebelum ke Stadium MBPJ Selangor menentang PKNS FC, Sabtu ini.

"Kami akan cuba turunkan semua 24 pemain yang disenaraikan untuk dapatkan pilihan-pilihan kombinasi bagi mengharungi saingan sebenar yang masih panjang," kata pengurus pasukan, Henry Soimpon, ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Menurutnya, ketua jurulatih, Jelius Ating, dijangka akan menurunkan barisan utama dalam perlawanan pertama menentang Melaka United malam ini.

Sementara itu, bagi perlawanan kedua menentang lawan sama esok, Jelius dijangka menurunkan pasukan keduanya yang dibarisi pemain yang belum beraksi atau hanya sebagai pemain simpanan dalam saingan sebenar sebelum ini.

"Dalam perlawanan terakhir menentang PKNS nanti, kita akan cuba barisan terbaik berdasarkan dua perlawanan sebelumnya," katanya.

Pemain yang dibawa skuad Tambadau untuk aksi persahabatan itu ialah Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining, Mafry Balang, Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Muhammad Mohd Safar, Mohd Azizan Nordin, Alto Linus, Melky Balang, Jenius Karib, Randy Baruh Samson, Justin Samaan, Mohd Azwan Abd Fattah, Ricco Nigel Milus, Maxsius Musa, Elias Sulaiman, Sabri Sahar, Rahman Shah Marajeh, Stanely Sulong, Mazlan Yahya, Ranilson Batuil, Park Tae Su, Rodoljub Paunovic dan Luka Milunovic.

Mengenai ketiadaan nama Luiz Carlos Junior dalam senarai, Henry berkata penyerang import dari Brazil itu tidak dibawa kerana masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan otot paha.

"Saya percaya tiga perlawanan ini akan memberi ujian terbaik buat pasukan kita. Selain untuk dapatkan kombinasi pemain, perlawanan ini juga untuk memastikan momentum baik pasukan sekarang dapat dikekalkan.

"Kita perlukan perlawanan ini ekoran rehat panjang kira-kira tiga minggu," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen