Negeri Sembilan perlu bangkit untuk memperbaiki kedudukannya dalam saingan Liga Perdana musim ini, kata jurulatihnya, Mohd Zan Mat Aris.

Sehubungan itu, skuad Rusa perlu menang dan mengumpul mata untuk mengukuhkan kedudukannya.

"Setiap perlawanan penting dan kami perlu menang untuk memperbaiki kedudukan.

"Kami ada baki tujuh perlawanan lagi untuk mengumpul mata dan saya harap setiap pemain memberikan komitmen penuh untuk mencapai hasrat tersebut.

"Selepas mengharungi 13 perlawanan dengan keputusan lima menang, empat seri dan empat kalah, Negeri Sembilan setakat ini menduduki tempat kelima dengan mengumpul 19 mata.

"Peluang bagaimanapun masih terbuka untuk Negeri Sembilan membaiki kedudukan dan saya ingatkan pemain supaya tidak menghampakan lagi," katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengulas kekalahan 0-1 skuad Rusa kepada UKM FC di Paroi, Jumaat lalu, beliau melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu.

"Saya sangat kecewa dengan mutu pengadilan pada malam itu. Banyak keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan. Ini ditambah dengan pemain UKM FC yang tidak menunjukkan semangat kesukanan selain melengahkan permainan dan pemain lawan didapati bermain kasar.

"Menang kalah adalah adat permainan tetapi cara pemain lawan beraksi tidak baik untuk bola sepak Malaysia.

"Semua orang hendak menang tetapi cara pemain UKM FC merekodkan kemenangan itu mengecewakan."

Tambahnya: "Pengadil juga menafikan bantahan kami dan faktor ini menyumbang kepada kegagalan skuad Rusa untuk mengumpul mata pada malam itu.

"Keputusan itu juga menafikan skuad Rusa untuk mencapai kemenangan ketiga berturut-turut."

Beliau berharap segala kelemahan akan dapat dibaiki dalam perlawanan seterusnya.

-- BERNAMA