"Situasi paling buruk sepanjang 24 tahun bermain bola sepak."

Itu reaksi pemain berpengalaman, Shukor Adan, yang melihat kemelut penurunan hampir separuh gaji ketika ini memberi kesan mendalam kepada hampir 200 pemain senior.

Musim lalu menyaksikan Liga Malaysia disajikan dengan kesukaran beberapa nama seperti Azmi Muslim, Manaf Mamat dan Zamir Selamat mendapatkan pasukan.

Menjelang Liga Malaysia musim 2020, situasi sama berulang dan ia menunjukkan tiada jaminan sebenar untuk pemain bola sepak.

Malah, bagi Shukor sendiri, era profesional yang dilaungkan umpama 'jauh panggang dari api'.

Memasuki tahun 2020, ia adalah situasi paling buruk yang dilabelkan bekas pertahanan kebangsaan itu selepas penurunan gaji hampir 60 peratus menjadi kesukaran buat pemain senior negara meneruskan kelangsungan hidup.

"Semua pasukan telah melakukan pemotongan kos yang tinggi dan mereka tidak boleh bersaing dengan pencabar lebih besar seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor dan Kedah. Saya rasa ini adalah salah satu sebab mengapa masih ada pemain berpengalaman yang tiada pasukan," katanya.

Shukor meminta semua pemain sedar dan tidak terlalu tegar dengan tuntutan gaji tinggi, merujuk kepada isu semasa di mana keadaan sedang melewati situasi membimbangkan.

"Mungkin kami sebagai pemain senior perlu tahu batasnya. Apabila sudah tahu setiap pasukan akan mengehadkan perbelanjaan, pemain harus terima.

"Jika ada pasukan yang inginkan khidmat pemain dan tawaran diberikan berpatutan dengan kehidupan, mengapa tidak untuk mengambilnya sebagai permulaan semula."



Editor: Nafis Abdullah