Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, berkata kekalahan mereka dalam aksi pertama Liga Perdana malam tadi adalah disebabkan sikap pemainnya yang tidak bersungguh-sungguh.

"Kami menguasai permainan dalam separuh masa pertama yang mengakibatkan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) langsung tidak memiliki ruang dan peluang sehingga kami juga berjaya menghasilkan gol.

"Bagaimanapun, semuanya berubah dalam separuh masa kedua apabila pemain kami tidak mampu mempertahankan kedudukan itu dan melepaskan beberapa peluang terbaik.

"Ia disebabkan sikap mereka yang membenarkan pihak lawan memenangi perlawanan tersebut," katanya.

Jelius berkata barisan pemainnya perlu segera mengubah sikap itu sekiranya tidak mahu terus kecewa dalam aksi-aksi akan datang.

"Memang kami agak kecewa, namun saya menerima kekalahan ini dan perlu memandang ke depan serta melakukan sesuatu supaya dapat bangkit dalam perlawanan akan datang," katanya.