Perlawanan Liga Perdana di antara Felda United dan Felcra FC yang berakhir 1-1 di Stadium Shah Alam semalam bukan sahaja mengukuhkan peluang The Fighters untuk bergelar juara tetapi ia juga adalah aksi ke-150 Shukor Adan bersama kelab itu.

Shukor menyertai Felda pada 2014 dan selepas aksi ke-150, dia kini di landasan tepat untuk meraih satu lagi kejuaraan.

Turut melakukan penampilan ke-150 semalam adalah penjaga gol, Mohd Farizal Harun.

"Rasanya dengan Selangor pun, walaupun sudah banyak bermain, orang tidak hargai kita seperti ini.

"Jadi, saya rasa ia satu penghargaan saya dapat mewakili Felda selama hampir lima tahun ini dengan 150 perlawanan. Perkara yang tidak disangka-sangka. Sebagai pemain, kita tidak sempat kira untuk semua itu.

"Terima kasih kepada Felda yang memberi penghargaan ini kepada saya," kata Shukor yang juga kapten Felda.

Shukor percaya selepas berjaya menangani saingan kuat Felcra semalam, Felda berada di landasan tepat untuk meraih kejuaraan liga.

Bagi Shukor, setiap pemain Felda memberikan komitmen tinggi berdepan lawan dan mereka kini hanya perlu kekal konsisten dalam aksi selepas ini.

"Ia sebenarnya satu mata yang berharga sebab kita tahu Felcra adalah pasukan yang agak baik.

"Kalau tidak konsisten, mereka tidak berada di tangga kedua dan bersaing dengan kami.

"Mereka juga belum kalah lagi dalam Liga Perdana. Satu mata di tempat lawan adalah keputusan yang baik bagi Felda," katanya lagi.