Tidak ramai yang mengetahui ketua pasukan dan penyerang PKNP FC, Shareel Fikri Md Fauzi, hampir bersara awal kerana masalah jantung yang dihadapinya sejak muda, namun semangat juang tinggi membolehkannya terus beraksi sehingga mendapat panggilan pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada.

Bagi Shareel, keluarga adalah pendorong utama dalam mengharungi kesukaran awal bergelar pemain profesional ekoran masalah kesihatannya.

"Saya menghadapi masalah jantung sejak kecil. Selepas (serius) dalam bola sepak selama beberapa tahun, doktor memberitahu saya mempunyai masalah jantung.

"Saya tidak berasa sebarang masalah mengenainya dan sebaik mengetahui berita itu, moral saya jatuh," katanya.

Penyerang berusia 23 tahun itu beraksi baik ketika berdepan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana, malam tadi, biarpun pasukannya tewas 1-0.

Selepas ini, dia berpeluang membuktikan keupayaan terbaiknya buat skuad negara dalam kempen kelayakan Piala Asia berdepan Hong Kong, bulan depan.

"Syukur Alhamdulillah itu rezeki saya hasil usaha saya dengan PKNP.

"Saya berasa agak terkejut (dengan panggilan menyertai skuad kebangsaan)".