Muhammad Shahrom Abdul Kalam dijangka menamatkan teka-teki mengenai destinasinya musim depan dengan menyertai pendatang baharu Liga Perdana, Felcra FC.

Pemain pertahanan kebangsaan itu yang tidak lagi bersama Perak selepas rundingan mereka menemui jalan buntu dan difahamkan Shahrom turut berminat ke Pulau Pinang sebelum hadir ke Felcra.

Menurut jurulatih Felcra, Tarcisio Pugliese Barbulio, kejayaan mendapatkan Shahrom melegakan dirinya kerana pemain itu dijangka mampu membentuk kestabilan di bahagian pertahanan.

"Dia seorang pemain yang baik dan memiliki kualiti kepimpinan hebat. Dia berbeza dan ramai pemain menyukainya. Saya pasti dia boleh banyak membantu kami pada musim baru ini," katanya.

Sementara itu, bekas pemain T-Team FC, Mohamad Asrol Ibrahim, lega Felcra membuka peluang kepadanya pada saat-saat akhir.

Dia dan bekas rakan sepasukan, Mohd Badrul Hisham Morris, adalah antara dua muka baru yang menyertai Felcra.

"Ini di luar jangkaan. Sebagai pemain kami harus menerimanya. Saya megucapkan terima kasih kepada Felcra kerana membuat tawaran ini walaupun pada minit-minit akhir."