Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini mengumumkan lima individu dicalonkan bagi jawatan presiden persatuan berkenaan selepas tarikh tutup pencalonan berakhir 28 Julai lalu.

Antara yang tersenarai ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, selain empat lagi calon, iaitu Datuk Yusoff Kasim yang juga naib presiden, Alijus Sipil selaku setiausaha agung SAFA serta dua ahli perniagaan, Tan Sri TC Goh dan Hamid Mohd Apdal.

Bagaimanapun, Shafie dijangka tidak bertanding untuk jawatan itu selepas baru-baru ini beliau membayangkan enggan memegang jawatan tertinggi SAFA berkenaan berikutan kesibukan tugasnya selaku Ketua Menteri.

Pihak SAFA akan menghubungi mereka yang tercalon bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka menerima pencalonan itu atau tidak.

Yusoff juga tidak akan bertanding untuk jawatan presiden tetapi akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden selepas dia turut dicalonkan untuk jawatan itu.

Ini bermakna, beliau akan mengosongkan jawatan naib presiden yang disandangnya ketika ini.

Sementara itu, Yusoff berkata selain beliau, tujuh lagi individu yang dicalonkan bagi jawatan timbalan presiden termasuk Alijus, Hamid, Datuk Juil Nuatim, Datuk James Wong, Datuk Rahman Zakaria, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Fredoline Penggo.

Bagaimanapun difahamkan, dua calon, iaitu Juil dan James, menarik diri daripada bertanding jawatan itu.

Bagi jawatan naib presiden pula, sebanyak 11 pencalonan diterima, termasuk dalam kalangan ahli majlis tertinggi (AMT) SAFA dan sekiranya mereka menerima pencalonan itu, maka mereka harus mengosongkan jawatan mereka.

SAFA terpaksa mengadakan pemilihan untuk beberapa jawatan penting persatuan berkenaan berikutan peletakan jawatan mantan presidennya yang juga bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, susulan peralihan kuasa kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Dua jawatan timbalan presiden turut kosong selepas penyandangnya, Datuk Lawrence Gimbang, meletak jawatan manakala satu lagi jawatan timbalan kosong berikutan kematian Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

**Kredit imej - Patrick Mosinoh Jr