"Kami tidak akan meningkatkan kes tunggakan gaji pemain di Malaysia.”

Itu jaminan Presiden Selangor United, Mohd Firdaus Mohamed, kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila menegaskan pasukannya berbelanja mengikut kemampuan.


Arena bola sepak negara menjadi panas apabila Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mendedahkan kes tunggakan gaji pemain di Malaysia merupakan yang tertinggi di Asia.

Ia melibatkan 262 kes daripada 14 hingga 15 pasukan sejak 2016 dan situasi itu memaksa FAM menyekat geran tahunan buat lapan hingga 10 pasukan yang beraksi musim ini.

Bagaimanapun, Firdaus optimis Selangor United tidak akan mengikut jejak pasukan bermasalah itu walaupun terpaksa berbelanja lebih bagi saingan 2019.

"Kalau anda lihat tahun lalu, kami hanya berbelanja sebanyak RM1.5 juta untuk beraksi dalam Liga FAM berbanding pasukan lain seperti PJ Rangers dan lain-lain yang mencecah RM6 juta. Wang memang penting tetapi ia tidak menjamin kejayaan," kata Firdaus.

"Jadi, saya bawa konsep sama ke Liga Perdana. Ia bukan berdasarkan reputasi daripada kelab-kelab lain. Kami menilai pemain dan memberi tawaran mengikut kemampuan kami. Mahu atau tidak, terpulang kepada pemain. Kami kekalkannya sehingga kini."

"Kebanyakan kelab di Malaysia hanya menunggu dana daripada agensi-agensi untuk menggerakkan pasukan. Ia menggambarkan sikap yang tidak baik dan negatif dalam industri bola sepak negara," tambah pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir.