Pendatang baru Liga Perdana, Selangor United, seharusnya menyalahkan diri sendiri selepas kalah tipis 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) II, malam tadi.

Penolong jurulatihnya, V. Yogeswaran, mengakui kegagalan menyudahkan peluang dan kelekaan pada babak kedua telah menghukum mereka.

Bekas pemain Selangor itu begitupun tetap berpuas hati serta optimis Selangor United berupaya meloloskan diri dalam kelompok lima terbaik musim ini.

"Kami mampu bersaing dan pemain-pemain sudah membuktikan dengan kemenangan ke atas Kelantan dalam perlawanan pertama.

"Cuma ketumpulan serangan menjadi masalah dan perlu diperkemaskan untuk perlawanan akan datang," katanya.

Dalam aksi semalam, Selangor United menguasai babak pertama dengan corak permainan lebih teratur, malah berjaya mematahkan gerakan diatur tuan rumah.

Jaringan penalti penyerang TFC II, Akanni Sunday Wasiu, pada minit ke-66 begitupun menghalang naib juara Piala FAM 2018 itu untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata.

"25 minit pertama pemain-pemain saya hanya statik dan bermula perlahan, saya tidak tahu mengapa.

"Gandingan tengah, Marcel (N'Guessan) dan Shukor (Jusoh) masih baru dan secara keseluruhan kami belum beraksi pada tahap terbaik," kata jurulatih TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan.