SABAH 3 FELCRA 0

Satu lagi slot ke Liga Super terpaksa ditentukan dalam aksi terakhir Liga Perdana selepas Felcra FC kecundang 0-3 kepada Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.


Kemenangan itu juga menyaksikan Sabah merampas kembali kedudukan tangga keempat untuk menghidupkan sedikit peluang mereka bagi mengintai slot ke Liga Super.

Maxsius Musa meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-19 apabila melakukan penyudah baik selepas menerima hantaran Rodoljub Paunovic di dalam kotak penalti.

Pada minit ke-27, Paunovic pula memiliki peluang hasil hantaran Mohd Azzizan Nordin, namun percubaannya sekadar singgah di tepi jaring pintu gol Felcra FC.

Separuh masa pertama juga menyaksikan skuad kendalian Jelius Ating itu menguasai hampir keseluruhan permainan dengan Felcra FC hanya memiliki satu percubaan ke arah pintu gol Sabah.

Pada minit ke-44, Hector Omar Ramos meledak gol kedua untuk Sabah hasil sepakan penalti selepas Maxsius dijatuhkan pertahanan lawan di dalam kawasan penalti dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bemula separuh masa kedua, Sabah terus garang apabila menambah jaringan, juga menerusi Ramos yang melakukan penyudah baik selepas menerima hantaran Hamran Peter pada minit ke-46 bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Maxsius hampir mencetak gol keempat buat Sabah tetapi rembatannya pada minit ke-62 diselamatkan penjaga gol lawan, Mohamad Fadzley Abdul Rahim.

Felcra FC yang sekali-sekala melakukan serangan memiliki peluang baik pada minit ke-80, namun rembatan pemain gantian, Muhammad Nazrul Kamaruzaman, terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Pada minit ke-86, Paunovic hampir menjaringkan gol, namun tandukannya yang tidak dikawal ditepis keluar oleh Mohamad Fadzley dan kedudukan 3-0 itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Fitri Maskon, meniupkan wisel penamat.

Dengan kemenangan itu, Sabah naik semula ke kedudukan keempat liga dengan 28 mata, tiga mata di belakang Felcra FC yang kini di kedudukan kedua, dan satu mata di belakang MISC-MIFA di tangga ketiga.

Keputusan lain

UKM FC 3 PULAU PINANG 1