Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, optimis skuad The Fighters kini berada di kedudukan selesa untuk meraih kejuaraan Liga Perdana selepas seri 1-1 dengan Felcra FC di Stadium Shah Alam, semalam.

Keputusan itu membolehkan Felda kini terus mendahului liga dengan mengumpul 33 mata selepas 14 perlawanan.

Felda kini berkelebihan 10 mata daripada pencabar terdekat, MISC-MIFA, yang terikat 22 mata dengan Felcra di tangga ketiga dan PDRM keempat.

Sehubungan itu, Sathianathan optimis tiga lagi kemenangan mampu mengesahkan kejuaraan liga buat pasukannya selepas ini.

"Jika kita kira, kami hanya memerlukan empat kemenangan. Itu sahaja. Kami mempunyai enam perlawanan.

"Selepas ini, kami juga akan berdepan pasukan di tangga kedua atau ketiga. Jadi, tiada masalah bagi kami. Kami tidak tewas hari ini, ia keputusan yang bagus," kata Sathianathan.

Dalam pada itu, pengendali Felcra, Tarcisio Pugliese, berpuas hati dengan aksi pasukannya ketika berdepan Felda.

Jurulatih kelahiran Brazil itu percaya pasukannya masih berada di landasan tepat untuk menduduki dua tempat teratas dan ke Liga Super musim depan.

"Saya pasti kami boleh lakukan. Saya percaya kami akan berdepan perlawanan sukar kerana banyak pasukan bagus dalam liga ini.

"PDRM dan MISC-MIFA dalam prestasi yang baik. Begitu juga Sarawak, Sabah juga dalam tempoh yang baik. Tetapi, kami akan berjuang walaupun sukar," katanya.