Ketua jurulatih Felda United, B. Sathianathan, menganggap anak buahnya sudah belajar daripada kesilapan tewas 0-3 kepada MISC-MIFA untuk mereka kembali meraih tiga mata apabila menundukkan UiTM FC 4-1 dalam aksi Liga Perdana malam tadi.

Empat jaringan yang dihasilkan memberi kepuasan kepada Sathianathan bagi membuktikan mereka tidak lagi mengambil mudah mana-mana perlawanan selepas tewas mengejut kepada MISC-MIFA minggu lalu.

Sungguhpun pada awalnya Felda United tersentak dengan gol pembukaan UiTM pada minit ke-26, dia memuji kebangkitan anak buahnya untuk terus mencipta peluang membalas jaringan.

Sathianathan turut puas hati dengan aksi pertama yang ditampilkan pemain tengah, Daniel Amir Norhisyam, selepas empat bulan berehat dan kini menanti Ahmad Syamim Yahya untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan selewat-lewatnya bulan depan.

"Saya akan berjumpa dengan dia dan terangkan apa yang perlu ditingkatkan lagi di dalam padang. Ini kerana walaupun lama tercedera, dia ada bersama kami.

"Saya harap dia mengambil peluang ini dan kekal di dalam pasukan," katanya.

Pengendali UiTM, Wan Mustaffa Wan Ismail, pula nyata kecewa selepas kempunan meraih tiga mata dalam tiga perlawanan setakat ini dan perubahan drastik perlu dilakukan dalam aksi seterusnya ketika berdepan MISC-MIFA.

"Dalam pusingan kedua liga, saya mendapati pemain bergerak agak perlahan. Saya perlu melakukan sesuatu, Ini kali pertama anak buah saya beraksi semasa Ramadan, maka saya perlu lihat semula corak pemakanan dan tidur mereka.

"Mungkin itulah kelemahan kami," kata Wan Mustaffa.