Pihak pengurusan pasukan Sarawak berang dengan tindakan pengadil ketika pertemuan dengan Selangor United semalam kerana tidak menghentikan perlawanan biarpun dalam keadaan cuaca kilat dan petir.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam separuh masa pertama.

Namun, kekecohan berlaku dalam babak kedua setelah perlawanan diteruskan pengadil perlawanan, Ghaffar Mohd Zambri, biarpun keadaan cuaca ketika itu hujan lebat dan diselangi kilat dengan situasi itu mungkin menimbulkan bahaya dan mengancam keselamatan pemain.

Sejurus selepas Selangor United menjaringkan gol pada minit ke-75, barulah pengadil menghentikan permainan apabila kem Sarawak melakukan protes.

"Pengadil sepatutnya menghentikan perlawanan lebih awal.

"Apabila dia menghentikan perlawanan selepas mereka menjaringkan gol, sudah pasti suasana akan menjadi kecoh.

"Kami cuba mengawal pegawai-pegawai kami agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

"Kami akan berbincang dengan pihak pengurusan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap perkara ini," kata ketua jurulatih Sarawak, Farhan Abdullah.

Bagi Selangor United pula, mereka kini sudah memperoleh enam mata daripada tiga perlawanan Liga Perdana dan momentum itu mahu diteruskan agar dapat melayakkan mereka ke saingan Piala Malaysia.

"Sasaran kami adalah untuk menduduki lima tangga teratas.

"Berdasarkan pemain yang kami miliki dan gaya permainan pasukan ini, saya yakin kami mampu untuk melakukan sesuatu," kata ketua jurulatih Selangor United, Talib Sulaiman.