Perjuangan Sarawak dalam Liga Perdana kembali menyala apabila mempamer semangat juang tinggi selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat MISC-MIFA 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

MISC-MIFA memerlukan kemenangan bagi menjarakkan kedudukan dengan dua pencabar terdekat, Felcra dan PDRM, yang tewas dalam aksi masing-masing pada Jumaat lalu.

Tuan rumah begitu dominan dalam babak pertama dan asakan agresif mereka membuahkan gol pertama melalui B. Ramaloo pada minit ke-26 hasil tindakan susulan bola muntah di depan gawang Sarawak.

Malang buat Sarawak apabila ketua pasukan, Mohd Hairol Mokhtar, dilayangkan kad merah pada minit ke-33 ekoran menjatuhkan Kpah Sherman di luar kotak penalti.

Elizeu Araujo Batista berjaya melunaskan sepakan percuma diberi, tiga minit kemudian bagi mengukuhkan kedudukan MISC-MIFA.

Bagaimanapun, sebelum babak pertama tamat, penyerang veteran, Bobby Gonzales, menghidupkan harapan Sarawak melalui sepakan penalti dalam masa kecederaan.

Ketika MISC-MIFA bertalu-talu melancarkan asakan, kelekaan pertahanan dihukum Sarawak yang meraih jaringan penyamaan pada minit ke-66 menerusi serangan balas direncana Abdul Rahim Abdul Razak yang disudahkan Bobby.

Tuah tidak bersama MISC-MIFA apabila percubaan demi percubaan gagal menepati sasaran, terutama Sherman pada minit ke-75 apabila bola mengenai palang gol walaupun dalam situasi terbuka di depan gol Sarawak.

"Kami turun untuk perlawanan ini mencari mata penuh bagi memastikan slot ke Piala Malaysia. Kesilapan daripada penjaga gol menyaksikan pasukan kehilangan dua mata," kata pengurus MISC-MIFA, K. Rajendran.

"Sarawak ketinggalan dua gol pada awal permainan tetapi berjaya bangkit mengikat kedudukan, sekaligus meraih mata. Ia mempamerkan semangat yang dimiliki dalam pasukan ini," kata penolong jurulatih Sarawak, Pengiran Bala.