Sang Badak berazam mempertahankan rekod tanpa kalah mereka untuk kali keenam berturut-turut apabila berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang bertemu Kuala Lumpur, malam ini.

Pengendalinya, Jelius Ating berkata beliau akan mengekalkan formasi 3-5-2 walaupun bakal bertembung pasukan yang kini berada di puncak liga.

"Tiada sebab kenapa kami mahu membuat perubahan atau menukar formasi walaupun kami akan bertemu dengan pendahulu liga.

"Saya masih yakin dengan formasi ini yang ternyata berkesan dalam perlawanan lalu dan saya juga gembira para pemain dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perlawanan lalu, Sabah berjaya mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas Perlis walaupun ia kali pertama Jelius menerapkan formasi 3-5-2.

Jelius berkata beliau akan mengekalkan kesebelasan utamanya ketika bertemu Perlis untuk aksi malam ini kecuali Mohd Azzizan Nordin yang mengalami kecederaan.

"Kami akan menurunkan Leopold (Alfonso Otong) bagi menggantikan tempat Azzizan manakala yang lain akan dikekalkan," katanya.

Aksi malam ini menyaksikan Kuala Lumpur harus mencatat kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga, sekali gus terus mencerahkan peluang mereka beraksi dalam Liga Super musim depan.

Sementara itu, bagi Sabah pula, apapun keputusan pada malam ini tidak memberi kesan kepada mereka yang telah pun selamat daripada zon penyingkiran.

Bagaimanapun, pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu yang kini berada di kedudukan ketujuh liga, mampu dipintas PDRM sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka dan jika PDRM pula menang.