Sikap sambil lewa pemain antara faktor Sabah kecundang kepada PDRM dalam aksi terakhir Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.

Pengendalinya, Jelius Ating, berkata aksi anak buahnya dalam separuh masa pertama sedikit mengecewakan sehingga mengakibatkan mereka ketinggalan dua gol.

Katanya, walaupun Sabah cuba bangkit dalam babak kedua, namun ia sudah terlambat dan dihukum pula dengan jaringan di hujung permainan oleh pasukan tuan rumah.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata pemain tidak beraksi pada tahap sebenar mereka, terutama dalam separuh masa pertama sehingga menyebabkan mereka ketinggalan dua gol.

"Persembahan pasukan malam tadi berbeza ketika kami menewaskan Felcra FC tempoh hari. Mereka kelihatan agak goyah, terutama dalam separuh masa pertama, kami cuba mengejar dalam babak kedua, namun ia sudah terlambat.

"Saya juga melihat mereka ada sedikit sambil lewa, mungkin kerana mereka sudah puas hati selepas layak ke Piala Malaysia tetapi bagi saya, ia bukan sesuatu yang baik buat pasukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelius berkata keputusan perlawanan malam tadi mungkin berubah jika bahagian serangan mereka lebih tajam kerana beberapa peluang baik yang dimiliki gagal diterjemahkan kepada jaringan.

"Kami memiliki beberapa peluang baik, terutama dalam babak kedua, antaranya Maxsius (Musa) yang gagal melakukan penyudah baik walaupun hanya berdepan penjaga gol lawan," katanya.

Dalam aksi malam tadi, PDRM mendahului Sabah 2-0 dalam babak pertama hasil dua jaringan Mohd Fauzi Abdul Majid pada minit ke-17 dan 45.

Sabah kemudian menyamakan kedudukan dalam separuh masa kedua hasil jaringan Maxsius Musa dan Hector Omar Ramos, masing-masing pada minit ke-71 dan 87. Bagaimanapun, PDRM berjaya menghukum kelekaan pertahanan Sabah apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-89 menerusi Shunsuke Nakatake.

Sementara itu, Jelius berkata beliau hanya akan memberikan cuti rehat dua hari kepada pemain kerana mereka perlu segera menjalani latihan bagi menghadapi Piala Malaysia.

"Piala Malaysia bakal berlangsung tidak lama lagi. Kami perlu melakukan persiapan sebaik mungkin kerana saya tidak mahu sekadar layak beraksi, kami perlu menjadi antara pesaing utama," katanya.