SAFA larang sepanduk berunsur provokasi

Oleh Willie Jude  14 Februari 2019 443
SAFA larang sepanduk berunsur provokasi
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) tidak akan membenarkan sebarang sepanduk berunsur provokasi atau yang boleh mencetuskan kekecohan dalam semua aksi membabitkan skuad Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan SAFA, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata segala bentuk sepanduk atau poster haruslah mendapat kebenaran SAFA sebelum ia boleh dipaparkan atau dipasang.

Selain itu, beliau yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, berkata sebarang alat muzik berat seperti gong, gendang atau kompang juga tidak boleh dibawa masuk sekiranya tidak mendapat kebenaran.

"Peraturan ini berkuatkuasa bermula dengan perlawanan Liga Perdana Sabah menentang Terengganu FC II (TFC II), Sabtu ini.

"Memang tidak dibenarkan dibawa masuk adalah sebarang senjata, termasuk mercun dan suar atau benda yang boleh dijadikan senjata seperti payung, botol minuman dan minuman tin.

"Kami akan memperketatkan kawalan keselamatan bagi menguatkuasakan peraturan ini. Sehubungan itu, kami berharap penonton atau kelab penyokong memberi kerjasama dalam hal ini," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata peraturan itu adalah bagi memastikan kemeriahan menyaksikan perlawanan Liga Malaysia apabila Sabah menjadi tuan rumah tidak dicemari dengan perkara-perkara yang tidak diingini.

"SAFA dan pasukan Sabah sememangnya menghargai dan perlukan sokongan penyokong. Sebab itu kami mahu penyokong datang untuk menyokong pasukan dan bukannya menimbulkan kekecohan, termasuk mamaparkan sepanduk-sepanduk bersifat provokasi.

"Kalau mahu menggunakan alat muzik atau ada sepanduk yang mahu dipaparkan, ia perlu kebenaran daripada SAFA terlebih dahulu," katanya.

Tentang Penulis

Willie Jude 

Komen