Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) hari ini mengikat pemain dari Jepun, Keisuke Ogawa, bagi memperkuatkan lagi pasukan Sabah dalam menghadapi baki saingan liga musim ini.

Majlis ringkas menandatangani kontrak itu diadakan di pejabat SAFA di Kota Kinabalu dengan turut dihadiri Timbalan Presiden SAFA, Datuk Lawrence Gimbang.

"Kami membuat keputusan ini selepas barisan jurulatih berpuas hati dengan prestasi beliau (Ogawa) sepanjang sesi pemilihan yang dilakukan sebelum ini. Oleh itu, kami menawarkan dia kontrak selama enam bulan.

"Kami harapkan kehadiran Ogawa akan mampu memperkuatkan lagi pasukan Sabah dan kami sangat alu-alukan kehadiran beliau," katanya dalam sidang media selepas majlis itu.

Turut hadir, Naib Presiden SAFA, Benedict Asmat, pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim, ketua jurulatih, Jelius Ating, dan Setiausaha Eksekutif SAFA, Hasbullah Yahya.

Dalam pada itu, Ogawa bertekad untuk membantu Sabah mencipta lebih banyak kemenangan, sekali gus mencerahkan peluang mereka ke Liga Super.

"Saya gembira kerana dapat menyertai pasukan Sabah kerana saya tahu pasukan ini memiliki ramai penyokong.

"Penduduk di sini baik-baik, cuma saya perlu membiasakan diri dengan keadaan cuaca panas di sini," katanya.