Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bakal berubah wajah selepas beberapa pemimpin tertinggi persatuan berkenaan meletak jawatan.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung SAFA, Alijus Sipil, yang berkata Tan Sri Musa Aman telah mengemukakan surat peletakan jawatan beliau sebagai presiden pada 26 Mei lalu.

Peletakan jawatan Datuk Lawrence Gimbang serta Datuk Harun Ismail, masing-masing sebagai timbalan dan naib presiden pula akan berkuatkuasa esok.

"Keputusan penting itu dibuat bagi membolehkan peralihan pentadbiran SAFA berikutan pertukaran pemerintahan kerajaan negeri yang berlaku baru-baru ini.

"Ia juga berdasarkan nasihat daripada pegawai Pesuruhjaya Sukan Sabah yang memaklumkan kepada kami bahawa peletakan jawatan secara blok atau keseluruhan tidak boleh dilakukan kerana ia akan mengakibatkan SAFA terpaksa dibubarkan dan perlu didaftar semula. Ini akan mengambil masa yang panjang.

"Sehubungan itu, keputusan terbaik ialah peletakan jawatan penting dalam persatuan ini membabitkan jawatan presiden, timbalan presiden serta satu naib presiden," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SAFA di Kota Kinabalu, hari ini.

Alijus berkata persatuan itu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada Rabu depan bagi membolehkan kongres tahunan diadakan secepat mungkin, seterusnya mengisi jawatan yang ditinggalkan itu.

"Berdasarkan perlembagaan SAFA, untuk mengadakan kongres ia memerlukan 90 hari dan bagi kami, ia satu jangka masa yang panjang.

"Bagaimanapun, kita boleh memendekkan tempoh itu menerusi mesyuarat agung luar biasa dan dalam mesyuarat itu nanti, kita akan bentangkan untuk pendekkan tempoh 90 hari itu kepada 14 hari dan sekiranya tiada sebarang halangan, kongres tahunan bakal diadakan pada 5 Julai nanti," katanya.

Tambah beliau, Datuk Yusof Kassim yang juga naib presiden SAFA akan memangku tugas sebagai presiden sehinggalah kongres berkenaan diadakan nanti.