Pengendali Sabah, Jelius Ating, mengesahkan Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong tidak lagi bersama skuad kendaliannya bagi menghadapi baki saingan Liga Perdana, musim ini.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata dua pemain dari Korea Selatan itu tidak lagi berada dalam perancangan beliau selepas kontrak mereka tamat pada 17 Mei lalu.

"Saya telah bertemu dengan kedua-dua mereka dan memaklumkan mengenai keputusan ini. Kami juga telah memberi mereka surat pelepasan pada hari terakhir mereka menjalani latihan, 17 Mei lalu.

"Ia sebenarnya satu keputusan yang sukar untuk dilakukan tetapi kami mesti memandang ke hadapan, antara faktor kami melakukan keputusan ini ialah kami mahu memantapkan lagi pasukan dengan pemain import baharu ketika jendela perpindahan pemain dibuka," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Jelius berkata mereka kini telah memasuki pertengahan musim, namun prestasi pasukan masih belum konsisten dan berharap dengan kemasukan pemain import baru, mereka akan mencatat keputusan lebih baik.

"Bagi pihak pasukan dan pengurusan, saya mengucapkan terima kasih kepada Lee dan Heo kerana sumbangan mereka selama ini dan semoga mereka berjaya di tempat lain selepas ini," katanya.