Sabah melepaskan peluang untuk mencatat kemenangan di gelanggang sendiri apabila terikat 1-1 dengan Sarawak dalam Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Beraksi di hadapan kira-kira 10,000 penyokong, skuad kendalian Jelius Ating itu hampir meraih kemenangan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan Sarawak, Mohd Sabre Mat Abu, pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, sepakan pemain import dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon, sekadar terkena palang, sekali gus membolehkan Sarawak pulang dengan satu mata.

Terdahulu, Sarawak lebih dulu mendahului tuan rumah hasil jaringan Mateo Roskam pada minit ke-19 dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Sabah garang memburu gol penyamaan dan berjaya memperolehnya pada minit ke-54 hasil tandukan Hector Ramos selepas mendapat hantaran cantik daripada Maxsius Musa bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Kedudukan itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria, meniupkan wisel penamat, dengan pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu kini mengumpul lapan mata daripada empat perlawanan hasil daripada dua kemenangan dan dua seri.

Keputusan lain:

PDRM FA 1 Pulau Pinang 0