Sabah, JDT II terikat di Likas

Oleh Willie Jude 1 Mei 2018 1584
Sabah, JDT II terikat di Likas
SABAH 1 JDT II 1

Hasrat Sabah untuk mencatat kemenangan selepas tewas dua kali sebelum ini tidak kesampaian apabila terikat 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.


Turun tanpa tiga tonggak utama mereka, Sabah menguasai di awal permainan, namun gagal membahayakan pintu gol JDT II.

Malah, pasukan pelawat lebih dulu memperoleh gol pendahuluan menerusi bekas penyerang Sabah, Rozaimi Abdul Rahman, pada minit ke-36 selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid.

Awal babak pertama menyaksikan Sabah lebih menguasai permainan, namun gagal mencipta sebarang peluang baik.

Sabah kemudian memiliki peluang baik pada minit ke-45 menerusi tandukan Rahman Shah Marajeh, namun ia sekadar melepasi palang gol lawan.

Dalam masa tambahan separuh masa pertama, Hector Omar Ramos turut memiliki peluang tetapi tandukannya hasil hantaran Sabri Sahar terus ke dakapan penjaga gol dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bermula separuh masa kedua, Sabah terus garang memburu jaringan penyamaan, malangnya usaha mereka sering digagalkan pertahanan JDT II yang dikemudi Bruno Gabriel Soares.

Gol yang dicari-cari Sabah akhirnya menjelma pada minit ke-67 hasil tandukan Ramos selepas mendapat hantaran lintang daripada Sabri Sahar bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Usaha Sabah untuk mengatasi JDT II selepas itu bagaimanapun tidak kesampaian dengan kedudukan berkenaan kekal sehingga pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed, meniupkan wisel penamat.

Keputusan lain:

SARAWAK 1 PULAU PINANG 1
MISC-MIFA 2 FELDA UNITED 3
UiTM 2 UKM 0

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen