Sabah terus menghidupkan peluang untuk merebut tempat ke Liga Super musim depan apabila membenam MISC-MIFA 3-2 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Bagaimanapun, skuad kendalian Jelius Ating itu terpaksa 'bermandi peluh' apabila ketinggalan dua gol sebelum bangkit memenangi perlawanan berkenaan.

MISC-MIFA lebih dulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Kpah Sean Sherman hasil rembatan dari dalam kotak penalti selepas mengatasi seorang pertahanan Sabah bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pada minit ke-33, Sherman sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila meledak gol kedua selepas bola muntah hasil tampanan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, disudahkan dengan baik bagi mendahului tuan rumah 2-0.

Ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil, menghidupkan semula peluang tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-36 menerusi tandukan bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Sabah memiliki dua peluang baik dalam masa tambahan babak pertama menerusi Hamran Peter serta Rodoljub Paunovic, namun kedua-duanya diselamatkan penjaga gol pelawat, Hairol Fazreen Abu Hassan.

Bermula separuh masa kedua, Sabah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-47 menerusi sepakan percuma Paunovic, namun Hairol sekali lagi bertindak cemerlang menepis bola keluar.

Gol yang dicari Sabah akhirnya muncul pada minit ke-50 apabila rembatan Hamran hasil hantaran Paunovic terbias pertahanan lawan lalu terus menuju ke gawang MISC-MIFA, seterusnya kedudukan berubah menjadi 2-2.

Walaupun sekali-sekala melancarkan serangan, MISC-MIFA turut memiliki peluang terbaik mereka untuk kembali mendahului, bagaimanapun, cubaan Sherman diselamatkan Rozaimie dalam keadaan satu lawan satu.

Pada minit ke-83, Ramos menjadi wira Sabah apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi penyudah baik selepas menerima hantaran jauh Randy Baruh dan kedudukan 3-2 itu kekal sehingga wisel penamat.