Selepas kali terakhir menyerikan saingan Piala Malaysia pada 2011, Sabah tidak mahu melepaskan peluang memburu satu slot pada edisi tahun ini dengan buruan kedudukan empat terbaik dalam Liga Perdana.

Menurut ketua jurulatihnya, Jelius Ating, Sabah berusaha untuk kembali ke kejohanan berprestij itu pada 2013, namun kecundang di peringkat kelayakan.

Justeru, tahun 2018 disifatkan masa terbaik untuk memberikan saingan dengan barisan pemain sedia ada. Malah, peluang kembali ke Liga Super juga masih belum tertutup buat Sabah.

Jelius juga yakin kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) II, malam tadi, mengukuhkan keyakinan pasukan kendaliannya yang berada di tangga keempat dengan baki tiga perlawanan.

"Sudah lama Sabah tidak dapat menyertai Piala Malaysia kerana prestasi kami tidak begitu baik sejak kebelakangan ini.

"Jika dapat bersaing merebut kedudukan kedua atau ketiga dalam liga, itu dianggap bonus," jelasnya.

Mengulas lanjut kemenangan malam tadi, Jelius berkata impak perancang tengah, Maxsius Musa, Mohd Azzizan Nordin, Sabri Sahar serta Hamran Peter cukup bermakna dalam mengekang gerakan TFC II.

Jaringan pembukaan seminit selepas rehat ujarnya turut membantu mereka untuk segera mendapat rentak sebelum gol kedua pada minit ke-89 yang memberi kelebihan besar kepada Sabah.

Bekas pemain Sang Badak itu mengakui perlawanan agak seimbang, namun percaturan yang dirangka untuk memenangi penguasaan di bahagian tengah menjadi pemisah kedua-dua pasukan.

"Pemain-pemain saya beraksi cukup baik sehingga menutup ruang pasukan lawan untuk membuat hantaran berbahaya," tambah Jelius.