Sabah bakal berdepan dengan pendahulu Liga Perdana, Felda United, di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang, malam esok dengan hanya menggunakan dua pemain import.

Ia berikutan ketiadaan Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong yang meninggalkan pasukan itu selepas kontrak mereka tidak disambung, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata walaupun hanya akan beraksi dengan pemain import yang masih kekal, iaitu Francis Kasonde dan Hector Omar Ramos, ia bukan bermakna mereka tidak mampu mencatat keputusan baik.

"Walaupun terpaksa mengharungi perlawanan ini dengan hanya dua pemain import, ia bukan bermakna kami tidak mampu untuk beraksi baik, ini juga peluang bagi pemain yang jarang diturunkan untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Memang kami akui ia satu lagi perlawanan yang sukar bagi kami, terutama apabila kami hanya menggunakan dua pemain import. Namun, kami akan cuba mendapatkan keputusan yang baik esok," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu dijangka mengekalkan Robson Rendy Rining sebagai penjaga gol dengan dibantu empat pertahanan iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Kasonde, Jenius Karib dan Randy Baruh.

Di bahagian tengah pula, pemain pertahanan, Maffry Balang, dijangka bertindak sebagai pemain tengah bertahan sambil dibantu Mohd Azzizan Nordin, Sabri Sahar dan Maxsius Musa manakala Rahman Shah Marajeh akan mengisi posisi ditinggalkan Gil Hoon untuk bergandingan dengan Ramos sebagai pemburu jaringan.

Setakat 11 perlawanan, Sabah kini berada di kedudukan kelima liga dengan 15 mata hasil daripada tiga kemenangan, enam seri dan dua kekalahan.

Sebarang keputusan pada malam esok tidak akan mengubah kedudukan Sabah kerana dua pasukan di bawah mereka yang turut mengumpul 15 mata, iaitu UiTM FC dan Sarawak telah beraksi sebanyak 12 perlawanan.

Bagaimanapun, sekiranya skuad kendalian Jelius itu menang, mereka akan menghampiri pasukan yang berada di kedudukan keempat dan kelima, iaitu MISC-MIFA dan PDRM, yang masing-masing mengumpul 19 mata selepas 12 perlawanan.