UiTM FC 0 SABAH 3

Sabah berjaya meraih kemenangan pertama selepas mengharungi tujuh perlawanan apabila menewaskan UiTM FC 3-0 dalam Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.


Kali terakhir skuad Sang Badak merasai kemenangan adalah pada 10 April lalu, juga ketika menewaskan UiTM dengan keputusan 3-1 di Kota Kinabalu.

Dalam tujuh perlawanan sebelum ini, Sabah meraih tiga keputusan seri dan empat kekalahan.

Seperti telah menemui ramuan terbaik untuk berdepan UiTM, mereka mempamerkan aksi bertenaga dan mendahului perlawanan seawal minit kesembilan menerusi import kelahiran Zambia, Francis Kasonde.

Selepas itu, pelawat menggandakan kelebihan menerusi perancang, Sabri Sahar, yang melakukan penyudah untuk menutup separuh masa pertama dengan kedudukan 2-0.

Skuad bimbingan Jelius Ating itu kemudian meningkatkan asakan dalam separuh masa kedua dan akhirnya jaringan ketiga terhasil menerusi sumbangan pemain kelahiran Puerto Rico, Hector Ramos, pada minit ke-58.

Kemenangan itu, bagaimanapun, tidak mengubah kedudukan Sabah yang berada di tangga kelima dengan menghimpun 18 mata.