Rosmadi mahu cabar jawatan presiden KAFA

Oleh Staff Writer 20 Jun 2019 4516
Rosmadi mahu cabar jawatan presiden KAFA
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail, menyuarakan hasrat untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) jika dicalonkan oleh Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ).

Selepas berdepan pelbagai desakan, mantan presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, akhirnya melepaskan jawatan semalam berkuatkuasa serta-merta.

Pengumuman yang dibuat melalui laman Facebook rasminya itu membuka laluan kepada calon presiden baru yang dijangka dipilih dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Rosmadi berkata keputusan untuk bertanding merupakan satu cabaran memandangkan KAFA kini bergelut dengan pelbagai masalah.

“Kemelut ini harus didapatkan jalan keluar. Jangan hanya keluar daripada satu situasi yang bersih. Presiden baru juga perlu lihat masalah lain seperti kes tunggakan gaji pemain, situasi melibatkan FIFA serta masalah dengan stadium. Apa pun, saya harap individu baru dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Sebelum ini, beliau pernah bertanding jawatan naib presiden, namun ditewaskan oleh Datuk Seri Afandi Hamzah ketika Kongres Tahunan KAFA Ke-63 dua tahun lalu.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen