Pemain import baru PDRM, Patrick Ronaldinho Wleh, percaya dia mampu melaksanakan tanggungjawab untuk membantu pasukan itu meningkatkan kualiti penyudah dalam Liga Perdana musim ini.

Ketumpulan di bahagian serangan menyaksikan PDRM dalam keadaan terdesak untuk mencari penyerang yang dapat memikul tanggungjawab berkenaan.

Pengalaman yang dimiliki Ronaldinho bersama pasukan tempatan seperti Sime Darby FC, PKNS FC dan Selangor sebelum ini menyaksikan dia menjadi taruhan terbaru skuad The Cops itu.

Menurut pemain berusia 28 tahun itu, wujud tekanan buat dirinya untuk membantu pasukan itu memburu jaringan dalam setiap perlawanan.

"Sudah pasti saya tertekan. Ia merupakan kali pertama saya mewakili PDRM.

"Ia bukan perkara baru memandangkan saya pernah berdepan tekanan yang sama sewaktu mewakili Selangor dan Sime Darby.

"Saya memerlukan bantuan daripada rakan sepasukan untuk menjaringkan gol," katanya.

Pengendali PDRM, Fauzi Pilus, yakin Ronaldinho akan cergas sepenuhnya untuk diturunkan dalam pertemuan menentang Selangor United, Sabtu ini.

"Buat masa ini, dia sedang menyesuaikan diri.

"Dia menunjukkan komitmen yang baik dan saya berharap dia akan membantu kami mencipta jaringan," katanya.

Ronaldinho tiba di Malaysia minggu lalu dan sedang berusaha untuk mencari kecergasan terbaik.

Kelab terakhir yang disertainya ialah Floriana FC yang beraksi dalam Liga Perdana Malta.