Kuala Lumpur muncul antara pasukan yang tidak banyak melakukan perubahan pada pertengahan musim ini apabila hanya membawa masuk seorang pemain import baru, Paulo Josue, dan pemain pinjaman dari Felda United, Farid Ramli.

Josue dibawa masuk bagi menggantikan tempat Modibo Konte.

Sejak di bawah kendalian jurulatih baru, Fabri Magrao, 3 Mac lalu, skuad warga kota itu menang lima kali berturut-turut dan hanya tewas sekali kepada Negeri Sembilan.

Dengan berada di tangga ketiga Liga Perdana, jurulatih dari Brazil itu tidak mahu melakukan banyak perubahan kerana momentum pasukan dilihat berada di tahap terbaik.

"Kehadiran Josue bukan bermakna Konte tidak bagus, cuma saya perlu mendapatkan seorang pemain tengah yang cenderung menyerang.

"Lagipun, saya sudah mengenali corak permainan Josue," kata Magrao.

Muka baru, Josue, sebelum ini pernah bersama Magrao semasa dalam liga Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelab Dibba Al-Hisn, pada 2015 dan faktor itu diharap membantunya untuk segera menyesuaikan diri bersama Kuala Lumpur.

"Dia membuatkan pemain beraksi lebih baik dengan menyuntik keyakinan terhadap anak buahnya.

"Dia seorang jurulatih yang bagus dan sedang meningkat," kata pemain kelahiran negara Samba itu.

Bagi Farid yang merupakan bekas pertahanan kiri Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pulau Pinang, dia berharap kehadirannya bersama Kuala Lumpur mampu membantu menaikkan kembali kariernya.

"Pasukan ini mempunyai gabungan pemain-pemain berpengalaman dan muda.

"Saya akan cuba memberikan yang terbaik," katanya.