Ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil, yang merupakan muka baru skuad Harimau Malaya, meletakkan impian untuk menyarung jersi kebangsaan buat julung kalinya ketika berdepan Mongolia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Jika pada era 90-an, Sabah sering melahirkan pemain kebangsaan, namun ia tidak lagi berlaku pada era ini.

Sehubungan itu, apabila tersenarai, Rawilson berpendapat ia satu penghormatan besar buat pemain berbangsa Kadazan itu kerana sudah lama pemain Sabah tiada dalam skuad negara.

"Saya berasa bangga untuk mewakili negara memandangkan sudah agak lama tiada pemain Sabah yang dipanggil.

"Saya harap rakan-rakan lain di Sabah akan menyusul selepas ini," katanya.

Walaupun berasa rendah diri pada hari pertama latihan skuad negara, pertahanan berusia 24 tahun itu bertekad tidak mengalah sebelum mencuba.

Dia sedar bukan mudah mencabar pemain berpengalaman seperti Fadhli Shas dan Shahrul Saad.

"Kalau diberi peluang, saya pasti akan buat yang terbaik," katanya lagi.